TERKINI

Alliance Bank Naikkan Kadar Asas Standard

Foto Edge Prop

KUALA LUMPUR, 6 Mei 2023 – Alliance Bank Malaysia Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd akan menaikkan kadar asas standard (SBR) masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus setahun untuk mencerminkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang berkuat kuasa 10 Mei 2023, berikutan semakan semula OPR oleh Bank Negara Malaysia kepada 3.00 peratus pada 3 Mei 2023, daripada 2.75 peratus.

Sehubungan itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank akan menaikkan kadar asas mereka sebanyak 25 mata asas kepada 3.82 peratus setahun daripada 3.57 peratus, menurut bank itu dalam kenyataan.

Kadar pinjaman asas dan kadar pembiayaan asas akan disemak semula kepada 6.67 peratus setahun daripada 6.42 peratus setahun berkuat kuasa 10 Mei 2023, sejajar dengan keperluan rangka kerja kadar rujukan BNM berkuat kuasa 1 Ogos 2022.

“Di bawah rangka kerja ini, SBR akan digunakan sebagai kadar rujukan biasa untuk semua institusi kewangan bagi pinjaman/pembiayaan kadar terapung runcit baharu mereka dan akan dikaitkan sepenuhnya kepada OPR,” katanya.

Sejajar dengan semakan semula itu, Alliance Bank dan Alliance Islamic Bank akan turut melaras naik kadar deposit tetap mereka pada tarikh kuat kuasa yang sama. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp