TERKINI

Aman Palestin mohon semakan kehakiman

Muhammad Rafique Rashid Ali – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 1 Feb 2024 – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menerusi peguamnya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, untuk memohon supaya 11 akaun bank miliknya, dinyahbekukan dengan serta-merta.

Butiran permohonan difailkan itu menyatakan, ianya bertujuan untuk perbelanjaan misi-misi bantuan Aman Palestin bagi tempoh tiga bulan ke hadapan termasuk untuk tujuan operasi dan pentadbiran.

Dalam permohonan yang sama, Aman Palestin juga memohon satu deklarasi bahawa pihaknya berhak untuk terus mengumpul dana daripada orang awam serta menyalurkannya secara terus kepada mangsa perang di Gaza yang telah dan masih dizalimi rejim Israel, tanpa perlu diganggu gugat secara salah dan tidak sah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhammad Rafique Rashid Ali, peguam yang mewakili Aman Palestin berkata pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) itu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia.

Menurutnya, Aman Palestin pada jam 6.57 petang semalam juga memfailkan Afidavit Sokongan menyokong semakan kehakiman, Penyata Selaras menurut Aturan 53 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, dan Perakuan Segera.

“Hingga hari ini (semalam), dua surat diutus kepada SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari 2024 yang merayu serta memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin.

“SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusiaan meruncing dan ratusan mati setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, SPRM telah membekukan 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Pembekuan tersebut berkaitan dengan siasatan terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober tahun lalu.

Rafique dalam kenyataannya berkata bantuan dan kempen kemanusiaan oleh Aman Palestin mesti diteruskan walau apa pun terjadi kerana angka kematian akibat konflik di Gaza kini mencecah sekurang-kurang 26,751 mangsa termasuk 10,000 kanak-kanak, manakala 65,636 orang lagi cedera.

“Bantuan dan kempen kemanusiaan mesti diteruskan walau apapun terjadi. Aman Palestin tidak asing namanya bagi bantuan kemanusiaan ini di Gaza, Palestin, dan merentasi kawasan berhampiran Lubnan, Syria serta Yaman.

Beliau menegaskan bahawa Aman Palestin sebagai institusi yang dikenali mempelopori bantuan kemanusiaan di Palestin dan mempunyai rangkaian persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Turkiye, Syria, Lubnan dan kawasan sekitarnya, berharap rakyat Malaysia tidak kira bangsa serta agama akan terus mempertahankan hak masyarakat Palestin. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp