TERKINI

“Anwar bekerja untuk bank atau rakyat sekarang ini?” – Dr Mahathir

Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2023 – Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bahawa cara kerajaan menangani kelemahan ringgit dengan jawapan serta pandangan Perdana Menteri tidak memberi keyakinan sama-sekali.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan Datuk Seri Anwar mengenai dolar Singapura mengukuh selepas republik itu menaik OPR.

“Seingat saya memang Singapura tidak ada OPR. Ia ada SORA – Singapore Overnight Rate Average. Pendekatan SORA Singapura dan OPR Malaysia berbeza.

Mahathir menjelaskan, Monetary Authority of Singapore (MAS) tidak ada dasar OPR sejak tahun 1980an lagi.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau telah membuat kajian termasuk menggunakan ChatGPT berhubung perkara itu.

“Saya selidik, termasuk menerusi ChatGPT yang menjadi trend masa kini, dan hasilnya semacam. Ia bukan satu perbandingan yang sama – bukan apple-to-apple comparison.

“Sama ada jawapan Anwar boleh dianggap menipu atau mengelirukan Dewan Rakyat terserah kepada ahli-ahli Parlimen menentukan,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, twitter semalam.

Dalam hantaran yang sama, Mahathir mengingatkan kembali ketika Anwar mengetuai pembangkang, beliau sering marah dan menyindir Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dengan menganggap menteri kewangan itu bekerja untuk bank kerana menaikkan OPR.

“Jadi Datuk Seri Anwar bekerja untuk bank atau rakyat sekarang ini?” sindir Dr Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp