TERKINI

Anwar Dakwa Serangan Tun Mahathir Untuk Lemahkan Kredibiliti Sebagai Perdana Menteri

Foto berita harian

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2023 – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa serangan umum yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya adalah usaha untuk melemahkan kredibiliti sebagai perdana menteri dan kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Anwar berkata keseluruhan kandungan ucapannya di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” pada 18 Mac lepas adalah tindakan balas yang relevan terhadap serangan, pernyataan dan kelakuan Mahathir terhadapnya.

“Dalam hal ini, saya berhak untuk menyangkal serangan yang tidak berasas terhadap watak, integriti dan niat baik saya sebagai perdana menteri dan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan saya,” kata Anwar.

Tambahnya, kenyataan di kongres itu juga  tidak mempunyai sebarang maksud fitnah.

Presiden PKR itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaan setebal 164 muka surat yang difailkan menerusi Tetuan Thomas Philip di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam bagi menjawab saman yang difailkan Mahathir terhadapnya.

Anwar berkata saman Mahathir terhadapnya juga bertujuan untuk mewujudkan perpecahan kaum berikutan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Anwar antara lain berkata ini terbukti oleh Sijil Perakuan Segera bertarikh 3 Mei lepas difailkan Mahathir yang menyatakan bahawa tindakan samannya mesti dilupuskan secepat mungkin berikutan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menghadapi PRN.

Malah, ahli Parlimen Tambun itu mendakwa kelemahan komuniti Melayu ketika ini sebahagian besarnya disebabkan tindakan Mahathir ketika memerintah negara selama 22 tahun.

Anwar juga menggunakan beberapa perkara sebagai justifikasi pembelaannya untuk menunjukkan kekayaan keluarga Mahathir.

Dalam penyataan pembelaanya, Anwar  membangkitkan mengenai pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd, yang anak ketiga Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz adalah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Okt 2009.

Menurut Anwar, pada 15 Sept 2003, Telekom Malaysia Berhad telah mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan untuk meminta antara lain kebenaran untuk mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi pembekalan kabel fiber optik bernilai RM214.2 juta.

Beliau berkata Telekom adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga serta keputusan pemegang-pemegang saham lain.

“MKD berada di bawah kawalan dan arahan plaintif kerana beliau adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Pada 7 Okt 2003, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat untuk meluluskan permohonan Telekom untuk rundingan terus. Selepas itu, rundingan terus yang berkaitan antara Telekom dan Opcom telah berlaku antara Oktober dan November 2003,” katanya.

Menurut Anwar, sebuah lagi syarikat berkaitan dengan ahli keluarga plaintif iaitu Opcom Cables Sdn Bhd telah diberikan kontrak bernilai RM11.157 juta oleh Telekom pada 14 Mei 2018 bagi pemasangan dan pemulihan perkhidmatan Unifi.

Beliau mendakwa kontrak rakan Unifi itu diberikan kepada Opcom Cables empat hari setelah Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 10 Mei 2018.

“Kontrak tersebut juga telah diberikan sebelum pembentukan jemaah menteri baharu dan tanpa kelulusan mereka. Menteri-menteri kabinet hanya mengangkat sumpah pada 2 Julai 2018,” katanya.

Anwar berkata sebuah lagi syarikat milik ahli keluarga Mahathir iaitu Kencana Petroleum Berhad telah menerima US$220 juta (RM836 juta) daripada Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC) atau Petronas untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 1998.

Defendan berkata transaksi-transaksi itu berlaku di bawah bidang kuasa atau arahan Mahathir semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Mei lepas, Mahathir mendakwa pada 18 Mac 2023, Anwar memberikan ucapan di kongres berkenaan di Stadium Melawati, Shah Alam dan telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasi plaintif.

Menurut Mahathir antaranya kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk diberikan kepada anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM50 juta, ganti rugi teladan berjumlah RM100 juta dan perintah supaya defendan dengan serta-merta menarik balik kesemua kenyataan-kenyataan fitnah. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp