PARLIMEN, 7 Nov 24 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor (PN-BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tindakan kerajaan apabila wujud keadaan di mana hanya projek yang ditandatangani oleh Ketua Bahagian Umno yang akan diluluskan.
Beliau membangkitkan persoalan itu apabila Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyatakannya dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 November 2024 lalu.
“Perkara tersebut merupakan satu dakwaan yang serius dalam dewan yang mulia ini.
“Jika benar kontrak kerajaan diluluskan berdasarkan tandatangan atau sokongan UMNO, maka ini satu lagi tanda tanya mengenai komitmen Perdana Menteri sendiri terhadap agenda reformasi. Ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya dakwaan Ahli Parlimen Ranau itu benar, maka mengapa Perdana Menteri memberi keutamaan kepada tandatangan UMNO sedangkan parti yang memimpin ialah GRS.
“Jika benar apa yang didedahkan oleh Ahli Parlimen Ranau tersebut, maka timbul juga tanda tanya kenapa di Sabah Perdana Menteri memberi keutamaan kepada tandatangan UMNO sedangkan parti yang memimpin ialah GRS.
“Adakah terdapat usaha dilakukan bagi melemahkan parti GRS itu sendiri?” ujarnya.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin mendakwa permohonan satu projek naik taraf di daerah itu hanya akan diluluskan sekiranya ditandatangani oleh Ketua Bahagian UMNO.
Sebaliknya, kata beliau, permohonan yang dikemukakan oleh mana-mana Ahli Parlimen tidak mendapat perhatian. -Unit Komunikasi MP Bersatu