TERKINI

Bandar Di Norway Sedia Pengangkutan Awam Percuma

Gambar hiasan – foto Eltis.org

OSLO, 23 Mei 2023 – Bandar Stavanger di Norway bersedia untuk menawarkan pengangkutan awam percuma kepada penduduknya selama setahun bermula Julai.

Datuk Bandar, Kari Nessa Nordtun, berkata, bandar Stavanger telah memperuntukkan 200 juta Kroner Norway (US$18.4 juta) untuk projek itu.

Orang ramai akan dapat menggunakan perkhidmatan bas, bot dan kereta api di bandar ini secara percuma selama setahun, katanya pada Isnin, lapor Xinhua.

Inisiatif berkenaan bertujuan menangani peningkatan penggunaan kenderaan persendirian dan mempromosikan penggunaan pengangkutan awam di bandar keempat terbesar di Norway itu.

“Dengan mengurangkan pergantungan kepada kereta, bandar ini menyasarkan untuk mengurangkan kesan karbon dan kesesakan pada waktu puncak sekali gus dapat memberi manfaat kepada alam sekitar dan pemandu,” kata beliau.

Oleh itu, kerajaan tempatan menetapkan sasaran untuk memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus perjalanan penumpang dilakukan dengan berjalan kaki, berbasikal atau menaiki pengangkutan awam.

Penyediaan pengangkutan awam secara percuma akan membantu memastikan matlamat itu tercapai.

Belanjawan dan butiran teknikal untuk inisiatif itu dijangka diluluskan pada mesyuarat majlis perbandaran pada 19 Jun. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp