TERKINI

Bantah Sokongan Kepada Israel : Penerbit buku tarik diri Pesta Buku Frankfurt

Majlis Buku Kebangsaan Malaysia – facebook MBKM

KUALA LUMPUR, 17 Okt 2023 – Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) 2023 yang akan berlangsung di Frankfurt, Jerman.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, keputusan itu dibuat kerana kesal dengan tindakan pihak penganjur yang mengeluarkan kenyataan terbuka menyokong Israel dan mencampurkan hal politik dengan pesta buku.

“Tindakan penganjur dan pendirian mereka yang menyokong Israel dalam konflik melanda Palestin sekarang tidak sepatutnya berlaku disebabkan banyak pihak penerbitan yang datang dari negara Islam.

“Pesta buku sepatutnya dijalankan secara aman, tanpa perlu risau keadaan sekeliling. Buku seharusnya mengajar orang ramai, cara nak pandai dan berkongsi ilmu,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf pada Isnin.

Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menarik diri daripada menyertai Pesta Buku Frankfurt (Frankfurter Buchmesse) 2023.

KPM menerusi kenyataan pada Isnin,berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira sikap pro-Israel serta sokongan terbuka daripada penganjur kepada Israel.

“Kementerian tidak akan sesekali berkompromi terhadap keganasan Israel di Palestin yang jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Keputusan yang diambil KPM adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk sentiasa bersolidariti dan memberi sokongan penuh kepada Palestin,” kata kementerian itu.

Sebelum ini, pengarah Frankfurter Buchmesse, Juergen Boos menerusi laman instagram rasmi Buchmesse menyatakan solidariti dengan Israel selain menyifatkan serangan balas Hamas sebagai ‘melanggar hak asasi manusia’.

Susulan itu beberapa penerbit dari negara Islam termasuk Arab Saudi, Kuwait dan Indonesia menarik diri daripada Frankfurter Buchmesse tahun ini.

Delegasi Malaysia diketuai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, agensi di bawah KPM.

Sebelum itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengumumkan keputusan serupa atas alasan yang sama. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp