TERKINI

Beban Pada Anwar Kemuka Dokumen, kata Peguam Tun M

Rafique Rashid – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 4 Okt 2023 – Beban mengemukakan dokumen terletak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ahli Parlimen Tambun mengemukakan dokumen yang dirujuk dalam pernyataan pembelaannya dalam satu saman fitnah.

Peguam Rafique Rashid yang mewakili Mahathir berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain menolak permohonan Dr Mahathir supaya Anwar selaku defendan menyerahkan dokumen yang dikaitkan dengan saman fitnah tersebut.

“Mahkamah mengambil kira sekiranya terdapat dokumen berkenaan, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat praperbicaraan,” katanya.

Peguam Alliff Benjamin Suhaimi mewakili Anwar dilapor berkata permohonan Dr Mahathir selaku plaintif ditolak dengan kos RM2,000 oleh mahkamah atas alasan dokumen diminta tidak dirujuk secara spesifik dalam pernyataan pembelaan terpinda dan apa yang dirujuk dalam pembelaan itu adalah peristiwa atau transaksi pada masa lalu.

Alasan penolakan itu katanya adalah berdasarkan isu dalam pembelaan terpinda, Anwar selaku defendan, mengenai suatu acara atau peristiwa yang berlaku pada masa yang lalu tetapi tanpa dinyatakan sesuatu dokumen.

“Beban masih pada defendan untuk kemukakannya (dokumen),” kata Muhammad Rafique ketika dihubungi pemberita.

Rafique berkata anak guamnya mahu Anwar, antara lain mengemukakan dokumen-dokumen yang dirujuk beliau dalam pernyataan pembelaan terpinda mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Nov depan untuk pengurusan kes, bagi kedua-dua pihak memberi makluman mengenai permohonan interlokutori lain.

Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei, Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Perlaksanaan Sebuah Idealisme’ pada 18 Mac lalu.

Mahathir sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

Anwar yang merupakan Presiden PKR dalam penyataan pembelaan, 14 Jun lalu mendakwa, saman oleh Mahathir adalah bagi melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri, selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp