TERKINI

Bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Didakwa Rasuah

Rosli Hasan – foto Harian Metro

MELAKA, 13 April 2023 – Bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM408,736 pada 2017 dan 2018.

Datuk Rosli Hasan, 52, dituduh menerima suapan itu antara Mei 2017 hingga Februari 2018 dalam bentuk pengubahsuaian rumah milik isterinya di Jalan Pokok Mangga 61, Taman Pokok Mangga bernilai RM323,736.

Beliau juga berdepan 11 pertuduhan secara rasuah menerima suapan wang berjumlah RM85,000 melalui bayaran kad kredit antara Mei 2017 hingga 19 Okt 2017.

Kedua-dua suapan itu sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat untuk dilantik sebagai kontraktor bagi projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan sebuah masjid, dewan serba guna, tiga lot kedai dan rumah sampah secara reka dan bina di atas sebahagian tanah di Lot 341 dan Lot 345, Mukim Bachang, bernilai RM5.28 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samad menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Bagaimanapun peguam Azrul Zulkifli Stork memohon agar jaminan RM30,000 dijadikan bercagar dan RM50,000 tidak bercagar memandangkan tertuduh tidak lagi bekerja dan hanya mengharapkan pencen sebanyak RM2,018 sebulan selain terpaksa menanggung dua isteri dan lapan anak.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan permohonan Azrul dengan mengenakan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mei untuk sebutan semula kes. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp