17 Jan — Wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, ditahan polis pada awal pagi Sabtu selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung satu soalan yang mengundang kontroversi pada sebuah wacana awam baru-baru ini.
Tan, 31, disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, menurut peguamnya, Rajsurian Pillai. Kes kini dikendalikan oleh pasukan penyiasat dari Bukit Aman.
Penahanan itu berlaku sekitar 12.45 pagi selepas Tan dipanggil untuk memberi keterangan. Reman dijangka akan dimohon oleh pihak polis pagi ini, dengan kemungkinan beliau dibebaskan selewat-lewatnya petang ini.
Kontroversi tercetus selepas Tan mengemukakan satu soalan semasa wacana bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway, pada 12 Januari lalu. Soalan tersebut didakwa mengandungi unsur sensitif dan perkauman, yang kemudian mengundang kecaman meluas di media sosial.
Sehari sebelum penahanannya, Tan telah mengumumkan peletakan jawatan dari FMT dan memohon maaf secara terbuka atas soalan tersebut, mengakui ia “kurang relevan” dengan konteks acara dan tidak mempertimbangkan sensitiviti isu yang dibincangkan.
Insiden ini turut mencetuskan perdebatan mengenai batasan kebebasan bersuara dan tanggungjawab media, terutama selepas Majlis Media Malaysia mengutuk tindakan doxxing serta gangguan terhadap wartawan berikutan kecaman terhadap Tan. – malayadaily