TERKINI

Beras Madani : Radzi Jidin tempelak menteri kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR, 16 Feb 2024 – Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam satu hantaran di facebook, menempelak menteri Kerajaan Perpaduan berhubung isu pengenalan Beras Putih Malaysia Madani.

Dalam hantaran tersebut, Ahli Parlimen Putrajaya itu mempersoalkan sikap menteri yang senyap berhubung pengumuman harga beras tempatan yang semakin mahal.

“Kerajaan celaru: MP Bukit Gantang umum beras tempatan tukar nama jadi Madani. Harga lebih mahal. Mana menteri? Senyap sunyi, ini perkara dasar yang besar! ” katanya ringkas menerusi satu hantaran di Facebooknya, semalam.

Baru-baru ini, Perikatan Nasional (PN) melancarkan senarai Kabinet bayangan atau Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat gabungan itu.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Jidin diletak ke Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

Terdahulu, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penetapan harga siling baru bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa 19 Februari dan akan berada di pasaran bermula 1 Mac. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp