TERKINI

Bursa Malaysia Denda MP Langkawi Langgar Peraturan Korporat

Gambar hiasan – foto The Malaysian Reserve

KUALA LUMPUR, 26 April 2023 – Bursa Malaysia hari ini mendenda Ahli Parlimen Langkawi Mohd Suhaimi Abdullah dan bekas majikannya Silver Ridge Holdings Bhd kerana tidak patuh peraturan korporat.

Ini berhubung surat anugerah (LOA) Silver Ridge yang diterima daripada Telekom Malaysia pada 4 Mei 2021, tetapi gagal mengumumkannya dengan serta-merta, sekali gus melanggar Syarat-syarat Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia.

LOA untuk kontrak bernilai RM20.6 juta berkenaan hanya diumumkan oleh syarikat itu pada 4 Okt.

“Bursa Malaysia memandang serius pelanggaran itu kerana adalah penting bagi syarikat tersenarai mematuhi dengan tegas kewajipan pendedahan, khususnya keperluan untuk membuat pengumuman segera mengenai maklumat penting, yang bertujuan memastikan pelabur dan orang ramai dimaklumkan sepenuhnya oleh syarikat tersenarai itu mengenai semua fakta dan maklumat yang mungkin menjejaskan kepentingan mereka dan ini adalah perkara asas untuk membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan bermaklumat,” kata institusi itu pada satu kenyataan hari ini.

Atas ketidakpatuhan ini, Bursa Malaysia berkata pihaknya mengenakan tindakan terhadap Suhaimi – yang merupakan pengasas Silver Ridge dan pengarah urusan kumpulan pada masa kesalahan itu – serta tiga pengarah lain, dan masing-masing didenda RM25,000.

Bursa juga berkata keempat-empat mereka telah dimaklumkan mengenai LOA pada Mei dan mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan pematuhan kumpulan dengan syarat-syarat penyenaraian.

Suhaimi meletak jawatan daripada Silver Ridge pada 4 Jan tahun ini, atas alasan peribadi.

Memandangkan denda Bursa bukanlah keputusan perbicaraan jenayah, kedudukan Suhaimi sebagai ahli parlimen Langkawi tidak akan terjejas. – Malaysiakini.com

Facebook
Twitter
WhatsApp