TERKINI

Cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya sukar dapat sokongan – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan (paling kanan) – foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 2 Jan 2024 – Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan usaha persempadanan semula bahagian pilihan raya jika dicadangkan kerajaan, akan berdepan kesukaran mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Khairuddin berpandangan bahawa ini kerana semua wakil rakyat Melayu sedar jika cadangan persempadanan semula diluluskan ia bakal melenyapkan kuasa politik Melayu buat selamanya.

“Saya juga amat yakin bahawa keseluruhan wakil-wakil rakyat Melayu akan betsatu-padu untuk menentang hasrat ini demi untuk menyelamatkan kekuatan masa depan politik Melayu.

“Wakil-wakil rakyat Melayu juga tidak sanggup dilabelkan sebagai pengkhianat bangsa untuk menyokong bagi mendapatkan kelulusan persempadan semula di Dewan Rakyat,” katanya.

Khairuddin juga menegaskan bahawa, dalam apa jua situasi mana-mana wakil rakyat Melayu yang mengundi menyokong cadangan persempadanan semula di Dewan Rakyat bakal dihukum oleh keseluruhan para pengundi Melayu di seluruh pelusuk tanahair.

“Bangsa Melayu tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana daya usaha yang bakal mengancam ke arah memupuskan atau menghakis kekuatan politik Melayu tidak kira secara jangkapendek mahupun jangka panjang.

“Keistimewaan bangsa Melayu adalah mereka akan bertaut semula bersatu padu untuk mempertahankan setiap inci hak-hak bangsa, agama dan tanahair,” ujar beliau. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp