TERKINI

Capaian Internet Isi Rumah Meningkat 96 Peratus – DOSM

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 1 Jun 2023 – Peratus isi rumah yang mempunyai akses Internet meningkat kepada 96 peratus tahun lepas, berbanding 94.9 peratus pada 2021, menurut laporan terkini Jabatan Perangkaan (DoSM).

Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isu Rumah yang dikeluarkan jabatan itu pada Rabu, memaklumkan akses isi rumah kepada telefon mudah alih, radio dan televisyen kekal melebih 95 peratus, namun akses kepada siaran televisyen berbayar merekodkan peratusan lebih rendah iaitu 76.9 peratus berbanding 83.2 peratus pada 2021.

Laporan itu turut menyatakan penggunaan Internet dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas telah meningkat ke 97.4 peratus (2022) berbanding 96.8 peratus (2021), dengan aktiviti Internet paling popular di negara ini ialah melibatkan diri dalam rangkaian sosial.

DoSM menjelaskan penggunaan Internet telah meningkat secara signifikan untuk perkhidmatan berkaitan mencari maklumat, komunikasi, sivik dan politik, e-Kerajaan, hiburan, e-Dagang dan lain-lain perkhidmatan dalam talian.

“Aktiviti berkaitan perkhidmatan meningkat lebih daripada tiga mata peratus. Aktiviti-aktiviti berkaitan perkhidmatan adalah mencari maklumat mengenai barangan atau perkhidmatan, yang meningkat ke 92.5 peratus; memuat naik kandungan ciptaan sendiri ke laman sesawang (17.6 peratus); mengendalikan laman utama peribadi (10.3 peratus).

“Aktiviti lain berkaitan perkhidmatan adalah menjalankan tugas secara dalam talian untuk menjana pendapatan (15.5 peratus); perbankan Internet (74.8 peratus); mendengar radio dalam talian (72.8 peratus); menonton televisyen dalam talian (68.1 peratus) dan membeli atau memesan barangan atau perkhidmatan menerusi e-Dagang (70.4 peratus),” menurut laporan itu.

Berdasarkan kajian itu, DoSM melaporkan kemahiran ICT, iaitu satu daripada petunjuk yang dipantau dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), juga semakin baik. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp