TERKINI

Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat, Teliti

foto utusan

PUTRAJAYA, 14 April 2023 – Insiden hari raya ‘terkejut’ yang diperkata ramai dan mungkin diramal sekali lagi melanda Malaysia Jumaat depan pastinya tak akan berulang.

Ia susulan proses pencerapan anak bulan Syawal pada petang 20 April ini akan jauh lebih ketat dan paling teliti, sekali gus kadar penampakan hilal juga amat sukar dibuktikan.

Langkah tidak dijangka itu sebagai pengajaran ekoran pengisytiharan tarikh Aidilfitri pada 2 Mei 2022 lalu adalah tidak sah malah pencerapan yang berjaya di Labuan juga terbatal.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, kekhilafan itu mula di­sedari pakar falak tempatan setelah melihat semula rakaman temu bual eksklusif RTM dengan pegawai pencerapan di pulau tersebut.

“Banyak kesilapan termasuk isu teknikal dikesan,” kata­nya ketika dihubungi.

Malah semakan me­lalui laman sesawang rasmi Majlis Raja-Raja turut mendapati nama Labuan tidak dimasukkan dalam laporan kejayaan penampakan hilal Syawal.

Isu berkenaan turut menjadi perdebatan ‘panas’ dalam kalangan saintis astronomi tanah air yang menyifatkan insiden itu sebagai cukup mengaibkan.

Justeru prosedur operasi standard (SOP) pencerapan di 29 lokasi ditetapkan Majlis Raja-Raja pada Khamis ini dijangka lebih ‘cerewet’.

Malah jelas sumber, jika perlu imej hilal Sya­wal dirakamkan menerusi kamera dan bukan lagi sekadar mencerap anak bulan dengan melihat kepada skrin di komputer.

Pakar panel rujukan falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Hanafiah Abdul Razak mengesahkan mengenai perkara tersebut namun enggan mengulas lebih lanjut. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp