TERKINI

Covid-19 : Tuaran Dalam Zon Merah

Grafik malayadaily.com

KOTA KINABALU, 17 Mei 2023 – Satu zon merah Covid-19 dilaporkan di Sabah iaitu di daerah Tuaran berikutan peningkatan mendadak kes positif sepanjang minggu lalu.

Harian Metro melaporkan, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam sebagai berkata, daerah itu mencatat 26 kes baharu sepanjang minggu lalu, berbanding 18 kes pada minggu sebelum itu.

Katanya, Tuaran adalah satu-satunya daerah mencatat kes paling banyak ketika ini menyebabkannya kembali ke zon merah dengan jumlah kes positif melebihi 40.

“Analisis kes Covid-19 bagi Minggu Epid (ME) 19/2023 (minggu lalu), hanya tiga daerah yang mencatatkan penurunan kes mingguan iaitu Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau, manakala 16 daerah yang lain tidak mencatatkan sebarang kes iaitu Putatan, Ranau, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sipitang, Tambunan, Tenom, Nabawan, Tongod, Semporna, Kalabakan, Telupid, Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau.

“Daerah yang mencatatkan peningkatan jumlah kes pada ME 19 berbanding ME 18 iaitu Tuaran, Sandakan, Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Papar, Penampang, Beluran, Kota Belud, Beaufort, Keningau dan Kunak.

“Tiada kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di seluruh negeri bagi ME 19,” katanya dalam kenyataan media perkembangan mingguan Covid-19 Sabah, di sini.

Secara keseluruhan, katanya bilangan kes baharu pada ME 19/2023 di seluruh Sabah meningkat sebanyak 68 peratus kepada 64 kes berbanding 38 kes pada minggu sebelum itu dengan semuanya adalah kes tempatan.

Katanya, purata kes aktif setiap hari bagi ME 19/2023 juga meningkat sebanyak 40 peratus kepada tujuh kes berbanding lima kes pada minggu sebelum itu.

“Bilangan pesakit Covid-19 dalam rawatan turut meningkat iaitu sebanyak enam peratus kepada166 kes pada ME 19 berbanding 156 kes pada ME 18,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai agar terus mengamalkan langkah pencegahan terutama pemakaian pelitup muka di tempat ramai dan sesak berikutan situasi semasa kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan. – Harian Metro

Facebook
Twitter
WhatsApp