TERKINI

DAP negeri dakwa kerajaan Sarawak salahguna kuasa

Chong Chieng Jen – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 1 Dis 2023 – Pengerusi DAP SARAWAK, Chong Chieng Jen mendakwa kerajaan negeri menyalahgunakan kuasanya dan menyifatkan ia “memperdaya rakyat Sarawak untuk menguntungkan syarikat berkaitan kerajaan” berhubung penjualan dan pengedaran silinder gas petroleum cecair (LPG) 14kg di negeri itu.

Menurut Chieng Jen, keenggananan kerajaan negeri memperbaharui lesen pengedaran MyGaz, secara literalnya dianggap membunuh persaingan dalam industri pengedaran ini dan membenarkan Petros Niaga memonopoli industri itu.

“Kerajaan negeri boleh mematikan lesen pengedaran MyGaz kerana kuasa pengagihan gas telah diturunkan kepada kerajaan negeri.

“Sudah tentu ini adalah salah guna kuasa yang jelas sehingga merugikan pengguna di Sarawak,” katanya.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Chieng Jen berkata, kerajaan negeri yang memegang kuasa pengedaran gas termasuk pembaharuan lesen pengedaran enggan memperbaharui lesen pengedaran satu-satunya pengedar LPG lain, MyGaz yang tamat tempoh hujung bulan depan. Ini membuka jalan kepada Petros Niaga, cabang pemasaran syarikat petroleum milik kerajaan Petros, untuk memonopoli pasaran.

“Tiada asas langsung untuk kerajaan negeri mewujudkan monopoli ini ke atas perkhidmatan,” kata Chong.

Minggu lalu, Pengurus Besar Malaysia Timur MyGaz, Pakamard Boonsawat mendakwa beribu-ribu rakyat Sarawak mungkin kehilangan pendapatan dan perniagaan mereka berikutan pengumuman bahawa Petros Niaga akan menjadi pengedar tunggal LPG di negeri itu mulai 1 Disember.

Julaihi bagaimanapun mempertikaikan dakwaan tersebut dan berkata 16 peniaga MyGaz boleh bertukar menjadi pengedar Petros Niaga. – The Malaysian Insight

Facebook
Twitter
WhatsApp