TERKINI

Datuk Mohd Nassuruddin Daud, MB Baharu Kelantan Angkat Sumpah

Mohd Nassuruddin Daud – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2023 – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai menteri besar Kelantan yang ke-19 di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian, di Kota Bharu, semalam.

Dalam upacara yang sama, Adun Temangan, Mohamed Fadzli Hassan mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri besar Kelantan menggantikan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebelum dilantik menjadi menteri besar Kelantan, Nassuruddin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri sejak 2013.

Beliau juga merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti semenjak Pilihan Raya Umum Kesembilan (PRU9) pada 1995.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas, Nassuruddin terus berjaya mempertahankan DUN Meranti mengalahkan Zahri Omar dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 9,154 undi.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan, berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

Selepas upacara mengangkat sumpah jawatan, Nassuruddin dalam satu kenyataan menegaskan kerajaan negeri akan mengamalkan dasar politik matang dan sejahtera dalam menjaga hubungan pihaknya dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, dengan cara itu hubungan mereka akan kekal kukuh dengan semangat federalisme. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp