TERKINI

Exco Selangor Akan Menghadap Sultan Isnin

10 Jan — EXCO Kerajaan Negeri Selangor dijadual menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Isnin ini bagi memberikan penjelasan berhubung keputusan membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, susulan titah keras Baginda yang menzahirkan rasa dukacita dan ketidaksetujuan terhadap perancangan berkenaan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, akan mewakili kerajaan negeri untuk membentangkan perincian keputusan tersebut, termasuk langkah-langkah yang didakwa sedang dan akan diambil bagi mengawal kesan pencemaran serta isu kebersihan berkaitan aktiviti penternakan babi di kawasan terbabit.

Pertemuan itu berlaku selepas Sultan Selangor secara terbuka memandang serius keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum cadangan pemindahan ke Bukit Tagar pada 2030, terutama jika ia melibatkan penternakan berskala besar dan berorientasikan eksport.

Dalam titah Baginda, Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dan menegaskan ketidaksetujuan terhadap perancangan tersebut kerana dikhuatiri akan mengulangi serta memburukkan lagi masalah pencemaran yang telah lama ditanggung penduduk setempat.

Ketegasan Baginda itu menjadikan pertemuan Exco dengan Istana pada Isnin ini sebagai medan penting bagi kerajaan negeri menjelaskan pendirian serta mempertahankan rasional keputusan yang kini berada di bawah perhatian serius pihak Istana dan rakyat Selangor. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp