TERKINI

Fahmi bidas Hadi isu Palestin

Fahmi Fadzil (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR – Fahmi Fadzil membidas tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya ‘tidak cukup kuat’ dalam memperjuangkan isu Palestin.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang boleh sahaja menyoal Perdana Menteri di Parlimen jika terdapat sebarang isu, namun beliau bukan sahaja tidak berbuat demikian malah tidak hadir ke Dewan Rakyat.

“Dari 9 hingga 19 Oktober, Abdul Hadi hadir satu hari iaitu pada 16 Oktober, hari sama Perdana Menteri buat kenyataan mengenai isu Palestin. Jadi, peluang untuk lawan ada.

“Tapi ada Abdul Hadi kritik atau lawan kenyataan Perdana Menteri? langsung tak!,” kata Fahmi menerusi catatan di akaun X beliau.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas di Shah Alam, Selangor semalam ketika ditanya mengenai pendirian Anwar terhadap penindasan rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Menerusi catatan itu, Fahmi turut berkongsi Hansard Parlimen bertarikh 16 Oktober ketika Anwar membuat kenyataan mengenai isu Palestin pada jam 11.37 pagi.

“Ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap selepas itu, malah siap ucap tahniah kepada Perdana Menteri atas pendirian kerajaan dalam isu Palestin.

“Tiba-tiba Abdul Hadi mencelah. Tapi daripada 136 patah perkataan yang dia ucap, tak sepatah pun dia balas, sanggah, tegur atau kritik kenyataan Perdana Menteri yang kononnya ‘tak cukup kuat’.

“Jadi, kenapa dia tak terus sebut bila ada peluang dalam dewan? Ini ke adab seorang ‘alim’, ‘pendakwah’? Jelas Abdul Hadi ni seorang yang penuh hasad dengki,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, Perdana Menteri berkata sebarang tindakan untuk menghantar tentera Malaysia ke Palestin termasuk bagi menjalankan misi pendamai atau keamanan atau koridor kemanusiaan perlu disepakati oleh negara-negara jiran terlebih dahulu.

Pada sesi penerangan berhubung perkembangan terkini krisis Palestin-Israel di Dewan Rakyat, Anwar berkata, jika perkara itu tidak dilaksanakan, ia akan menyebabkan pesawat negara tidak boleh mendarat bagi misi kemanusiaan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Malaysia akan melancarkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana RM10 juta. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp