TERKINI

Fahmi Fadzil patut selesaikan dahulu masalah jenayah siber, kata Ibrahim Ali

Ibrahim Ali (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 29 Nov 2023 – Presiden parti Putra, Dato Dr Ibrahim Ali mengingatkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil agar tidak takkabur dan membuat jaminan bahawa isu keselamatan terkait data peribadi rakyat Malaysia, dijamin selamat.

Dalam satu kenyataan media merujuk kepada isu pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID, Ibrahim berkata sebelum ini berlaku kes pencerobohan data peribadi melibatkan aplikasi Mysejahtera.

“Tiga tahun yang lalu (Disember 2020), Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah memberi jaminan bahawa data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat.

“Namun, pada 23 Februari 2023, Fahmi Fadzil sendiri telah menyebut dalam Dewan Rakyat, bahawa “Dipercayai sejumlah besar data peribadi telah dimuat turun”.

“Apakah maknanya jaminan yang diberi oleh Menteri Kanan Keselamatan, dan Menteri Komunikasi dan Digital itu?, soal Ibrahim.

Menurut Ibrahim, Kementerian Komunikasi dan Digital dan agensi lain yang berkaitan, perlu menyelesaikan dahulu kes-kes jenayah siber termasuk “Scamming” yang sedang berleluasa di dalam negara ketika ini.

“Adalah lebih baik YB Fahmi, Kementerian Komunikasi dan Digital, dan agensi lain yang berkaitan selesaikan dahulu kes-kes jenayah siber termasuk “Scamming” yang hari demi hari menjelma dan berleluasa dalam masyarakat kita.

“Setiap tahun mangsa-mangsa jenayah siber menanggung kerugian terkumpul berjuta-juta ringgit.

Dalam kenyataan yang sama, Ibrahim menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud menentang sebarang pemodenan dalam pentadbiran.

“Tetapi dalam hal berkaitan keselamatan, kemaslahatan dan privasi peribadi rakyat, kerajaan hendaklah lebih berhati-hati, teliti dan cermat membuat kajian mendalam sebelum melaksakan program-program “in the uncharted water” (situasi yang tidak biasa). Katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp