TERKINI

Filem Anwar Untold Story : PDRM Tak Zalim Seperti Gambaran Filem – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2023 – Ketua Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan babak dalam filem ‘Anwar The Untold Story’ yang menunjukkan polis bertindak zalim ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak tepat.

Khairuddin yang mengulas hal tersebut menerusi ciapannya di twitter semalam berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berlaku zalim seperti yang dipaparkan dalam beberapa babak filem tersebut.

“PDRM tak pernah zalim macam  yang dipaparkan dalam beberapa babak filem ‘haprak’ Anwar: The Untold Story.

“‘Opening’ pun dah tunjuk babak zalim PDRM ke atas watak Anwar Ibrahim yang dipukul teruk dan dibiar pakai baju yang penuh kesan darah hingga hari ke 5 dalam lokap tanpa bantuan perubatan. Ujarnya.

Khairuddin juga berkata bahawa pengalaman beliau sewaktu ditahan dibawah akta Sosma tahun 2015 berkaitan penentangannya terhadap skandal 1MDB, beliau telah dijaga dengan baik oleh pihak polis sewaktu berada di dalam tahanan.

“Bila saya ditangkap dan ditahan di lokap Ibu Pejabat PDRM Dang Wangi selama dua minggu pihak PDRM menjaga saya secara amat professional serta terbaik.

“Hari ketiga saya dalam lokap, saya mengalami demam denggi dengan begitu teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke HKL selama 11 hari. Ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa dalam isu ‘mata lebam’ Anwar Ibrahim, itu bukanlah di atas arahan Tun Dr Mahathir.

“Tindakan peribadi mantan Ketua Polis Negara tidak ada kaitan serta tiada kena mengena langsung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Filem Anwar: The Untold Story dibintangi oleh pelakon Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Anwar: The Untold Story mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp