TERKINI

Goodyear tutup operasi : MB Selangor jelaskan isu, Rafidah gesa kerajaan bertindak

Amirudin Shari (kiri), Rafidah Aziz (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 8 Mac 2024 – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan, beliau terkejut dengan berita bahawa syarikat pengeluar tayar global, Goodyear di Shah Alam bakal menutup operasinya pada 30 Jun ini.

Memetik laporan Astro Awani, Rafidah menggesa kerajaan untuk campur tangan dan bertindak pantas dalam menangani isu tersebut.

“Ini adalah satu kejutan yang tidak dijangka apabila membaca mengenai Goodyear, sebuah entiti lama dalam sektor perindustrian, memutuskan untuk menutup operasinya di Malaysia.

“Ia mesti membuatkan kita bermuhasabah untuk memahami sebabnya. Kerajaan mesti segera bertindak balas terhadap perkembangan sedemikian.

Tambah Rafidah, Malaysia tidak seharusnya bergantung kepada memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukur tahap pelaburan.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan perlu memastikan entiti perindustrian dan perniagaan yang sudah berada di negara ini tidak menutup operasi atau berpindah ke negara lain.

“Kita perlu memastikan bahawa sebenarnya terdapat perjanjian yang serius, yang memerlukan butiran seperti lokasi projek, struktur tenaga kerja, mengenai produk sama ada ia berorientasikan eksport atau untuk pasaran domestik, jangkaan jualan dan sebarang usaha sama dengan penduduk tempatan.

“Barulah mana-mana perjanjian boleh diterima dan ditandatangani, terutamanya apabila Perdana Menteri atau menteri menjadi saksi,” katanya.

Pada masa sama, Rafidah menggesa kerajaan untuk mendapatkan angka terperinci mengenai jumlah syarikat yang menutup operasi atau berpindah setakat ini serta alasan mereka berbuat demikian.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu bahawa penutupan kilang syarikat pengeluar tayar global, Goodyear berikutan penstrukturan syarikat memberi kesan kepada 1,200 pekerja di Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia, kata Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, Goodyear telah menutup kilangnya di Akron, Ohio pada Januari 2023.

“Ini dilakukan kerana Goodyear telah menstrukturkan semula perniagaan mereka kerana tidak mampu bersaing dengan syarikat seperti Michelin, Continental dan Bridgestone,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata, laporan Goodyear di peringkat tahunan menunjukkan syarikat menghadapi tekanan kos yang tinggi dan memilih untuk mencari tempat yang mempunyai kos lebih rendah.

Goodyear dilaporkan akan menutup kilangnya di Shah Alam, Selangor setelah beroperasi lebih lima dekad yang dijangka menjejaskan kira-kira 550 kakitangan.

Presiden Goodyear bagi Asia Pasifik, Nathaniel Madarang berkata, langkah itu adalah seiring dengan program transformasi kumpulan, Goodyear Forward dalam mengoptimumkan portfolio dan kehadirannya di peringkat global. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp