TERKINI

GPS Gesa Kerajaan Dedah Perjanjian Dengan Kuil, Tolak Cadangan Kuil-Masjid Bersebelahan

Keratan kenyataan media GPS – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 29 Mac 25 – Sebuah NGO Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menggesa kerajaan agar menyelesaikan isu antara kuil dewi Sri Pathrakaliamman dan Jakel dengan telus dan berlandaskan undang-undang.

“Sebarang penyelesaian isu ini mestilah berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tanah wakaf. GPS menggesa kerajaan untuk memastikan keputusan yang dibuat tidak bercanggah dengan prinsip perundangan negara.

Dalam kenyataan tersebut, GPS turut menggesa kerajaan untuk bersikap telus dengan mendedahkan segala perjanjian atau perbincangan yang telah dibuat dengan pihak kuil.

“Jika ada pampasan atau tanah gantian, rakyat berhak mengetahui butiran penuh agar tiada spekulasi dan ketidakpuasan hati . Ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama GPS tidak bersetuju dengan cadangan pemindahan kuil ke lokasi yang berjiran dengan Masjid. Menurutnya, ia dibimbangi akan berlakunya pertikaian antara pihak masjid dan kuil timbul dalam pelaksanaan ibadat masing-masing.

“GPS tidak bersetuju dengan cadangan pemindahan kuil ke lokasi yang berjiran dengan Masjid JAKEL.

”Ini kerana kami bimbang berlakunya insiden seperti kesKampung Rawa di Pulau Pinang, di mana pertikaian antara pihak masjid dan kuil timbul dalam pelaksanaan ibadat masing-masing. Namun begitu, semua ini sudah terlambat kerana pihak kuil telah mendapat tanah yang digazetkan untuk rumah ibadat. Katanya.

Dalam kenyataan yang sama, GPS meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia Menggubal garis panduan pembinaan rumah ibadat menjadi undang-undang negeri dalam bentuk Akta.

“Peraturan ini harus merangkumi masjid, surau, kuil, dan tokong, selaras dengan Kanun Tanah Negara 1965, yang selama ini banyak dilanggar oleh pelbagai pihak.

GPS juga menuntut PBT agar menghapuskan binaan tanpa kebenaran, seperti kalungan dan kotak berhala yang diletakkan secara tidak teratur di tempat awam.

Selain daripada itu, GPS menggesa status tanah wakaf harus dihormati.

“Tanah wakaf adalah hak eksklusif umat Islam dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan lain.

“Sebarang keputusan mengenai tanah ini mesti mematuhi hukum syarak dan undang-undang perlembagaan. Tegasnya.

Baru-baru ini, Isu kontroversi membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India mencapai penyelesaian selepas pihak pengurusan bersetuju berpindah ke tapak baharu yang terletak hanya 50 meter dari lokasi asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata persetujuan itu dicapai hasil rundingan bersama kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, memetik laporan media, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tidak bersetuju dengan cadangan supaya masjid dan kuil dibina bersebelahan.

Dr. Maza turut mengambil contoh insiden ketegangan yang berlaku di Kampung Rawa, Pulau Pinang yang berpunca daripada sebuah kuil yang dibina bersebelahan masjid.

“Dahulu, ketegangan Kampung Rawa berpunca dari kuil yang dibina bersebelahan masjid sehingga mencetuskan kekacauan dan pergaduhan antara agama.

“Jangan cuba cadangkan satu penyelesaian yang bakal membawa ketegangan bahkan kemusnahan yang tidak akan berkesudahan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp