KUALA LUMPUR, 3 Jan— Timbalan Ketua Negeri Pejuang Johor, Zainuddin Adan, menegaskan bahawa isu sebenar graduan bukan hutang PTPTN semata-mata, tetapi gaji permulaan yang terlalu rendah.
Beliau mengulas kenyataan YB Adam Adli yang menyifatkan PTPTN tidak mampu dimansuhkan sepenuhnya atas faktor kewangan negara. Menurut Zainuddin, hutang RM40 bilion dan lebih 2 juta peminjam menjadikan penghapusannya sukar, tetapi penyelesaian boleh dicapai melalui struktur sokongan gaji bermaruah untuk graduan.
“Ramai graduan baru dibayar hampir sama seperti pemegang SPM, walaupun kos hidup tinggi. Solusinya: tetapkan gaji permulaan RM3,000–RM3,500 untuk graduan, RM2,500 untuk diploma, dan RM1,700 untuk SPM,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya dasar gaji progresif dan guideline nasional untuk fresh graduates, mengambil contoh Singapura (PMET), Korea Selatan, Jepun dan Eropah yang menetapkan standard gaji permulaan melalui perjanjian kolektif dan garis panduan kerajaan.
Cadangan lain termasuk kategori khas “Graduan Bermaruah”, perjanjian kolektif antara universiti, industri dan kerajaan, serta insentif cukai kepada syarikat yang mematuhi dasar gaji ditetapkan.
Menurut Zainuddin, pendekatan ini bukan sahaja membolehkan graduan membayar balik PTPTN tanpa beban, malah meningkatkan daya beli mereka dan memberi manfaat ekonomi serta fiskal kepada kerajaan.
“PTPTN tidak boleh dimansuhkan, tetapi graduan boleh dibebaskan melalui gaji bermaruah. Graduan wajar bayar balik hutang tanpa menanggung beban hidup yang menekan,” tegasnya.
Beliau menegaskan, dasar gaji permulaan yang jelas dan setimpal dengan ilmu adalah jalan sebenar membantu anak muda, bukannya hanya retorik atau janji kosong. – malayadaily