TERKINI

Hamzah Sahkan Akaun Miliknya Dan Isteri Dibekukan

Hamzah Zainudin – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2023 – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bahawa akaun miliknya dan isteri dibekukan oleh pihak berwajib.

Dalam satu kenyataan media, beliau mendakwa, pembekuan itu mungkin disebabkan wujudnya tekanan dan campur tangan pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan sehingga ia disebarkan kepada media.

“Ini merupakan usaha terdesak kerajaan untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.

“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada parti ini apabila memenangi 146 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini,” katanya, pada Khamis.

Dalam kenyataan yang sama, Setiausaha Agung Bersatu itu juga berkata, beliau percaya pemimpin PN akan berhadapan dengan lebih banyak tindakan politik dalam tempoh masa terdekat termasuk menggunakan pihak polis untuk menyiasat tindakan mengkritik DAP dalam kempen pilihan raya negeri.

Pada masa sama, beliau memberitahu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama sekali tidak akan menghentikan perjuangannya.

“Saya telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia.

“Peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan mahkamah terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya. Ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp