TERKINI

Hanya Calon Tunggal, Mujahid Dipilih Senator

Mujahid Yusof Rawa – foto utusan malaysia

IPOH, 26 Mei 2023 – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dipilih sebagai Ahli Dewan Negara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Khamis.

Usul pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak sebagai Ahli Dewan Negara itu dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan disokong Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja).

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan disebabkan Mujahid merupakan calon tunggal yang dikemukakan kepada Setiausaha DUN, maka Mujahid diumumkan sebagai Ahli Dewan Negara tanpa proses pengundian.

“Memandangkan sehingga tarikh akhir penamaan iaitu pada 15 Mei, hanya seorang sahaja yang telah dikemukakan kepada Setiausaha DUN, maka saya umumkan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dipilih sebagai Ahli Dewan Negara,” katanya pada persidangan DUN Perak, di sini pada Khamis.

Saarani, ketika mencadangkan nama Mujahid, berkata pemilihan Senator itu adalah bagi menggantikan Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian pada 2 November tahun lalu.

Difahamkan, Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian itu merupakan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang kini merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar sejurus memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp