TERKINI

Hari Malaysia: Kesatuan Kita Dalam Kepelbagaian dan Kepelbagaian Kita Dalam Kesatuan – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 16 Sept 2023 – Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat tujuan asal penubuhan Malaysia.

“Tujuan asal kita tubuh Malaysia ialah untuk pastikan pengaruh komunis tidak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

“Walaupun Singapura bukan sebahagian kita lagi, tetapi kesemua kita telah berjaya menyekat komunis bertapak.  

“Kita juga setuju untuk bersama sebagai usaha ke arah kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Ini juga telah kita capai.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, hasil yang diharapkan daripada gabungan ini ialah mengembangkan ekonomi dan membangun bersama terus dikemudi dan menjadi teras kepada gabungan Malaysia.

Jelasnya, walaupun ada ketika timbul rasa kurang senang antara satu sama lain, ia perkara biasa di dalam mana-mana penyatuan wilayah-wilayah berbeza.

“Yang penting, selagi pemimpin dan pemikir yakin bahawa bersatu itu teguh dan bercerai akan roboh, insya-Allah gabungan kita akan terus utuh.

Menurut Mahathir, kesatuan dalam kepelbagaian dan kepelbagaian dalam kesatuan ini disambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafi sejarah pembentukan negara bangsa ini.

“Kesatuan kita di dalam kepelbagaian dan kepelbagaian kita di dalam kesatuan. Ini kita sambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafi sejarah pembentukan negara bangsa ini.

“Kita sambut Hari Malaysia dalam semangat sedemikian. Itulah asas kepada gabungan kita, ujarnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp