TERKINI

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia Kemuka 3 Tuntutan

Himpunan Aman Selamatkan Malaysia – foto penganjur

KUALA LUMPUR, 16 Sept 2023 – Lebih 3,000 orang berarak dari kawasan Masjid Jamek Kampung Baru sekitar 2 petang tadi selepas Zuhur bagi menyertai Himpunan Aman Selamatkan Malaysia, pada Sabtu.

Kumpulan itu berarak melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kemudian ke Ibu Peiabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz ketika berucap sebelum kumpulan itu berarak berkata, antara tuntutan tersebut adalah menunjukkan bantahan ke atas keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari 47 pertuduhan rasuah dihadapi beliau.

Himpunan tersebut membuat tiga tuntutan iaitu;

1. Mendakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

2. Membebaskan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif

3. Memberikan undang-undang yang adil kepada semua rakyat.

Difahamkan, laporan polis itu dibuat ke atas Kerajaan Malaysia atas dakwaan menyalahgunakan kuasa menghentikan kes Ahmad Zahid dan meminta pihak berkuasa mendakwa semula Presiden UMNO itu.

“Justeru hari ini, kita akan berarak ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan berhubung tiga tuntutan kita,” katanya.

Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard, Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.

Peserta perhimpunan itu turut melilit kain putih yang ditulis ‘#Selamatkan Malaysia’ di kepala serta memakai selendang bercorak ‘Jalur Gemilang’.

Jumaat lalu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di ibu negara. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp