TERKINI

Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan – Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah – foto facebook Selangor Royal Office

PETALING JAYA, 16 Feb 2024 – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam enakmen jenayah syariah Kelantan dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Sultan Sharafuddin yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) turut bertitah kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didukung rakyat.

“Di dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ‘ambiguity’,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Teks titahnya dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

Baginda turut menasihati umat Islam supaya bertenang, tidak buat kecoh dan menunggu cadangan daripada Jawatankuasa Khas Kaji Kompetensi DUN gubal undang-undang Islam.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan, dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Sidang sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa Dewan Undangan Negeri tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman berkata kes itu tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah, kerana isu yang perlu diputuskan ialah sama ada badan perundangan Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan atau sebaliknya.

Sejurus keputusan diumumkan, pelbagai pihak memberi maklum balas antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang melabel keputusan itu sebagai “Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp