TERKINI

Ibrahim Ali Gesa PM Bawa Usul Sidang Tergempar OIC

Anwar Ibrahim (kiri), Ibrahim Ali (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 19 Okt 2023 – Parti Putra menggesa kerajaan agar membawa usul untuk diadakan sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation Of Islamic Cooperation – OIC) bagi mencari jalan menggerakkan bantuan ke atas rakyat Gaza di Palestin.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, usul perlu dibuat untuk menubuhkan pasukan dari OIC yang berperanan untuk menyelamatkan rakyat Palestin.

“Putra mendesak kerajaan Malaysia segera menghantar notis kepada OIC supaya OIC serta merta mengadakan sidang tergempar dan membawa usul bagi menubuhkan tentera penyelamat OIC dan segera memasuki Gaza bagi menyelamatkan rakyat Palestin dari terus menjadi mangsa pengeboman dan senjata kimia pihak Zionis Israel.

“Tentera OIC bukanlah bertujuan untuk berperang dengan Zionis Israel atau sekutunya, tetapi untuk menyelamatkan rakyat dan bumi Palestin. Ujarnya.

Menurut Ibrahim Ali, setiap anggota OIC boleh menghantar seribu orang tentera setiap negara dengan aset-aset yang difikirkan perlu untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan mempertahankan diri dari apa jua serangan.

“Jika ada sebarang negara anggota OIC yang tidak mahu ikut serta, tinggalkan mereka itu. Yang utama, ialah bagi yang sanggup berjihad di jalan Allah s.w.t.

Ibrahim Ali juga berharap Perdana Menteri dapat memain peranan dan membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berani dan boleh menjadi jaguh bagi negara Islam.

“PMX Malaysia. sekarang buktikanlah bahwa anda sememangnya wira dan pemimpin yang berani kehadapan dan boleh menjadi jaguh bagi negara Islam yang sebenar dan bukannya cuma harimau kertas atau sekadar pelakon politik. Katanya.

Baru-baru ini, Hospital Al-Ahli yang penuh sesak dengan pesakit dilaporkan telah dibom oleh serangan udara Zionis Israel yang menyebabkan sekurang-kurangnya 500 terkorban.

Angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp