TERKINI

Identiti Negara Perlu Kekal, Walaupun Berbilang Bangsa, kata Tun Dr Mahathir

Bicara Bangsa – foto sekretariat proklamasi orang melayu

SHAH ALAM, 9 Julai 2023 – Identiti sesebuah negara tidak harus bertukar walaupun terdapat kehadiran bangsa lain di dalam negara tersebut, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun terdapat rakyat berbilang bangsa yang menetap di Malaysia, negara ini kekal dikenali sebagai Tanah Melayu kerana orang Melayu adalah bangsa asal yang membangunkan tanah air ini.

“Saya ini Melayu dan saya sayang kepada bangsa saya, salahkah?

“Negara kita ini adalah negara Melayu. Kita yang datang di sini kita bangunkan negeri di sini kita yang mula mentadbir semenanjung ini dan dikenali sebagai bangsa Melayu dan tanah air ini dikenali sebagai tanah Melayu.

“Tanah Melayu ini besar, daripada selatan Segenting Kra hingga kepulauan Riau diduduki orang Melayu dan dikenali sebagai negara Melayu,” kata Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika program Bicara Bangsa di Shah Alam, semalam.

Tambah Mahathir, seperti di Eropah, walaupun terdapat kemasukan warga asing dan imigran identiti negara-negara tersebut tetap kekal dan tidak berubah.

“Hari ini kita lihat sekarang migran, ramai orang daripada Afrika, negara Arab, India dan Pakistan berhijrah ke Eropah. Akhirnya mereka menjadi penduduk Eropah. Seperti di Britain, Jerman, Perancis dan lain-lain.

“Apakah dengan kedudukan mereka di situ maka negara itu tak lagi menjadi Britain, Jerman, Perancis, dan lain-lain? Apakah mereka ditukar menjadi negara berbilang kaum. Tidak,” tegas Mahathir.

Begitu juga di Malaysia, Mahathir berkata, kaum pendatang tidak boleh mengubah identiti asal negara ini daripada dikenali sebagai Tanah Melayu.

“Ya memang ada orang asing datang tinggal di sini. Orang memang bergerak bukan tinggal di negara mereka sahaja tapi di negara lain.

“Nama dan asal negara tak bertukar. Tidak menjadi milik pendatang sebaliknya ia menjadi milik orang asal dan orang lain diberi tempat, dan kerakyatan.

“Tapi bukan sehingga orang tempatan hilang kedudukan dan negara ditukar daripada bangsa tertentu menjadi negara berbilang kaum,” kata Mahathir lagi.

Beliau mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang berkata, usaha mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa adalah tidak menepati Perlembagaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh, kemudian menolak kenyataan Mahathir mengenai status Malaysia sebagai negara berbilang bangsa kerana dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan sebagai salah dan tidak berasas.

Memetik Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Ramkarpal berkata artikel itu adalah bukti struktur asas identiti berbilang kaum Malaysia.

Mahathir sebaliknya menegaskan, bahawa Malaysia adalah sebuah negara Melayu.

“Perlembagaan Malaysia tidak mendakwa bahawa Malaysia adalah negara pelbagai bangsa. Dengan bahasa kebangsaan, adat istiadat dan dengan beraja Melayu, Perlembagaan mengesahkan bahawa negara ini adalah negara Melayu.

“Dengan menerima warga negara dari bangsa lain tidak menjadikan Malaysia negara berbilang kaum,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp