TERKINI

Individu bakar rumah Ngeh, direman sehari lagi

Rumah Ngeh terbakar – foto Malaysia Post

LUMUT, 16 Jan 2024 – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menyambung satu hari lagi tempoh reman ke atas seorang lelaki yang ditahan berhubung kes khianat kereta pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar pada 10 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Nurul Izalina Rajaai yang membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman lelaki berusia 30-an itu sehingga esok di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Utusan melaporkan, lelaki berkenaan ditahan pada 12 Januari lalu di Shah Alam, Selangor dan direman selama lima hari sehingga hari ini untuk disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, lelaki itu dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung menaiki lori polis kira-kira jam 8.50 pagi dengan prosiding mahkamah selesai lebih kurang 40 minit kemudian.

Sebelum ini, orang ramai gempar apabila berlaku kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas sehingga menyebabkan kereta Mercedes Benz E300 terbakar 80 peratus manakala Honda CRV dan Toyota Hilux masing -masing mengalami lima peratus kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, siling dan bumbung garaj kediaman Ngeh di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar turut terbakar.

Siasatan polis kemudian mengesahkan terdapat perbuatan khianat apabila menemui ‘molotov coctail’ di lokasi kejadian kebakaran tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, seorang lelaki yang tiada rekod jenayah ditahan kira-kira jam 4 pagi di Shah Alam dan merampas dua telefon bimbit miliknya. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp