TERKINI

Israel sengaja serang Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya untuk usir rakyat Palestin, kata Tun M

Mahathir Mohamad (kiri) – foto X.com TDM

PUTRAJAYA, 17 Nov 2023 – Israel sengaja menyasarkan serangan mereka di kemudahan kesihatan di Gaza, Palestin dalam usahanya menyingkirkan penduduk dari kawasan itu, kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, sekutu kuat mereka, Amerika Syarikat dan United Kingdom pula berterusan menyokong kekejaman dilakukan Israel terhadap penduduk Gaza.

“Serangan kini bertukar menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai orang awam dan bukan pejuang Palestin. Ini bukan perang antara tentera, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel untuk menyingkirkan penduduk Palestin dari Gaza.

“Pengeboman hospital, kediaman, terkini, pusat fisioterapi, membuktikan Israel menyasarkan pusat-pusat ini dengan sengaja,” kata Mahathir.

Beliau mengulas serangan rejim Zionis itu di Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya di Gaza pada 7 Nov lepas.

“Saya mempunyai pertalian peribadi dengan hospital ini,” katanya.

Mahathir berkata, ini kerana Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), yng dianggotainya terlibat secara langsung dalam pembinaannya dan beroperasi sejak 2019 di Khan Younis, di Selatan Gaza,

PGPF katanya terlibat secara langsung bersama beberapa pertubuhan lain seperti; Humanitarian Care Malaysia; Muslim Care Malaysia; Media Prima Humanitarian Fund; dan pertubuhan kebajikan untuk rakyat Palestin membantu membina pusat tersebut.

“Israel berkata sebelum ini mereka tidak akan menyasarkan kawasan selatan ternyata hanya menanam tebu di tepi bibir,” kata Mahathir.

Mahathir bagaimanapun berkata tiada sebarang tindakan dapat diambil melainkan bantahan di atas kekejaman Israel.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah membantah dan berdoa agar rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel.

“Dan sekutu Israel, terutamanya AS dan UK terus membenarkan dan menyokong kebiadaban Israel,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp