TERKINI

Isu 5,207 Hektar Sempadan Sabah–Kalimantan: Rakyat Tuntut Penjelasan Menyeluruh

16 Feb – Isu pemuktamadan sempadan Malaysia–Indonesia di kawasan Sabah–Kalimantan kembali mencetuskan perbahasan hangat apabila dakwaan melibatkan sehingga 5,207 hektar kawasan sempadan dibangkitkan kepada umum.

Aktivis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin dalam satu kenyataan mempersoalkan keperluan penjelasan lebih menyeluruh daripada kerajaan, sambil mengaitkan isu ini dengan polemik terdahulu membabitkan Mahathir Mohamad berhubung kes Pulau Batu Putih.

Menurut beliau, rakyat berhak mendapat penjelasan penuh dan telus mengenai laporan bahawa kawasan di sempadan Sabah–Kalimantan terlibat dalam proses pemuktamadan antara Malaysia dan Indonesia.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan di Parlimen bahawa kawasan berkenaan merupakan kawasan OBP (Outstanding Boundary Problem) yang belum pernah dimuktamadkan sebagai wilayah mana-mana negara, dan bahawa penentuan dibuat berasaskan perjanjian lama serta proses teknikal persempadanan.

Dr Armin berkata penjelasan teknikal itu wajar diambil maklum, namun dalam isu melibatkan kedaulatan, ia tidak memadai untuk menjawab sepenuhnya persoalan awam.

“Isu sebenar bukan sekadar soal delimitasi atau jajaran sempadan, tetapi implikasi terhadap wilayah negara, sejarah kawalan kawasan serta kesan praktikal kepada kepentingan Malaysia,” katanya.

Beliau membangkitkan beberapa persoalan utama, antaranya sama ada kawasan terbabit pernah berada di bawah kawalan pentadbiran Malaysia secara de facto walaupun belum dimuktamadkan secara undang-undang, serta sama ada pernah wujud komuniti, ladang, operasi keselamatan atau penggunaan tanah oleh pihak Malaysia di kawasan tersebut.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan butiran teknikal seperti koordinat penuh pilar sempadan baharu bagi jajaran B2700–B3100, keselarasan jajaran dengan tafsiran literal perjanjian 1915, pembatalan jajaran lama 1977/78 yang melibatkan 96 pilar, serta kemungkinan masih wujud segmen lain berstatus OBP di sepanjang sempadan Malaysia–Indonesia.

Dr Armin juga menuntut pengesahan rasmi bahawa tiada wilayah yang pernah diiktiraf sebagai milik Malaysia dipindahkan kepada negara lain dalam proses pemuktamadan ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa dalam isu kedaulatan, persepsi kelemahan boleh memberi kesan yang sama serius dengan kelemahan sebenar.

“Pertanyaan rakyat bukan fitnah, tetapi tanggungjawab patriotik dalam negara demokrasi matang,” katanya.

Isu ini turut mengingatkan kepada kontroversi kes Pulau Batu Putih yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang ketika itu mencetuskan perdebatan besar mengenai prinsip kedaulatan dan tafsiran dokumen sejarah.

Dr Armin menegaskan bahawa selagi penjelasan tidak dihuraikan secara jelas, mudah difahami dan menyeluruh kepada rakyat, isu ini akan terus menimbulkan persoalan tentang bagaimana negara mengurus serta mempertahankan sempadannya.

“Kedaulatan bukan isu teknikal. Ia maruah negara. Dan maruah negara mesti dijelaskan dengan kebenaran yang lengkap,” katanya. –malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp