TERKINI

Program INSAN : Hanya Prapendaftaran, Bukan Kebocoran Data, kata MB Selangor

Skim INSAN – foto majoriti

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2023 – Dakwaan kononnya berlaku kebocoran data peribadi dalam Skim Insurans Am Selangor (Insan) adalah tidak benar, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Adun Sungai Tua itu berkata, sebaliknya apa yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu adalah pra pendaftaran melalui data yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memudahkan urusan pendaftaran dan menjimatkan masa.

“Mereka kena mengesahkan dengan gambar swafoto, kad pengenalan dan sebagainya untuk mengesahkan pendaftaran mereka. Jadi, ketika mereka mengesahkan, mereka termaktub dan terangkum dalam sistem tersebut.

“Tetapi nanti, saya minta pihak berkenaan untuk menjelaskan bagaimana akses awam kepada polisi yang belum sempurna, sepatutnya ia diserahkan kepada para penerima untuk dapat,” katanya, dalam sidang akhbar khas pengumuman portfolio exco, semalam.

Tidak timbul isu penjualan data pengguna kata Amirudin kerana data tersebut dibenar untuk digunakan bagi tujuan perlindungan insurans.

Namun penerima notifikasi katanya perlu mengesahkan pendaftaran mereka sekiranya berminat untuk mendapatkan polisi tersebut.

Tular di media sosial dakwaan kononnya maklumat peribadi rakyat di Selangor disalah guna bagi tujuan pendaftaran Skim Insan termasuklah individu yang sudah meninggal dunia.

Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin di laman Facebook Chegu Bard Original mendakwa bekas Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengutip untung atas angin dalam polisi insurans tersebut.

Beliau mendakwa ini kerana Teng adalah Pengerusi Selangor E-Wallet Sdn Bhd yang di lantik sebagai pengarah kepada syarikat WavPay Sdn Bhd.

Syarikat itu bekerjasama dengan AmGeneral Insurance Berhad (AmGeneral) bagi melaksanakan program Insan tersebut.

Dalam respons balasnya, Teng berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas memandangkan pelantikan itu dibuat atas kapasitinya sebagai exco, waktu itu.

Malah beliau juga berkata tidak menerima pembayaran gaji untuk berada dalam syarikat berkenaan.

“Bodoh! Saya dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menjadi pengarah dalam Wavpay penggal lepas. Tunggulah MMKN baru buat keputusan samada hendak meneruskan perkhidmatan saya atau tidak. Sabarlah.

“Tambahan, saya tidak menerima gaji dalam Wavpay sepanjang perlantikan saya, apalah takut sangat dengan kehadiran saya dalam Wavpay. Saya tahu dalang di belakang. Nak main? Saya sambut. Jangan menyesal,” katanya, di laman Facebook miliknya, baru-baru ini. – malaysiakini

Facebook
Twitter
WhatsApp