TERKINI

Isu Kalimah Allah : Keputusan Kerajaan Boleh Mengelirukan Orang Islam – Marzuki

Grafik malayadaily.com

PUNCAK ALAM, 17 Mei 2023 – Tindakan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Bible boleh mengancam akidah umat Islam.

Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, keputusan itu boleh mengelirukan orang Islam khususnya golongan muda yang berdepan risiko bertukar agama.

“Kerajaan hari ini tidak peka tentang sentimen orang Melayu dan juga Islam kerana Kalimah Allah ini adalah sebahagian daripada umat Islam.

“Kita takut penggunaan kalimah Allah di dalam Bible mungkin akan membawa satu fenomena baharu terutama kepada anak-anak muda Melayu Islam.

“Kemungkinan akan berpindah atau lari daripada akidahnya kerana beranggapan bahawa Bible dan al-Quran itu adalah sama,” katanya kepada Malaysia Gezette kelmarin.

Semalam, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15 Mei 2023 telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu. – MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp