TERKINI

Isu Kalimah ‘Allah’ : Ramai Pemimpin Desak Kerajaan Beri Penjelasan

Grafik malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2023 – Beberapa pemimpin politik menyuarakan ketidakpuasan hati mereka berhubung keputusan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam satu hantaran di laman sosialnya facebook, menggesa kerajaan untuk memberi penjelasan berhubung keputusan tersebut kerana isu itu melibatkan soal kesucian agama.

“Kita mohon satu penjelasan yang tuntas dan tepat dari KDN perlu diberikan kepada seluruh rakyat.

“Ini bukan soal politik,ini soal kesucian agama, ujarnya.

Manakala itu, Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif juga menggesa agar Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia memberi penjelasan dan justifikasi yang lengkap mengapa ia di tarik semula.

Menurut Nasrul, penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dihadkan sebelum ini bertujuan untuk mengelakkan dari berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan serta kekeliruan dari segi istilah dan juga bahasa.

“Penggunaan Kalimah Allah yang dihadkan sebelum ini jelas bagi mengelakkan penyelewengan, penyalahgunaan serta kekeliruan dari segi istilah dan juga bahasa yang digunakan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Jangan kerana nak menunjukkan keterbukaan kerajaan Madani akhirnya tergadai akidah dan berlaku kecelaruan anak muda Islam masa depan. Katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata penjelasan daripada menteri dalam negeri dan Perdana Menteri sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam sekarang.

“Mengapa kes itu tidak dibenarkan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan?” soal ahli parlimen PKR itu dalam kenyataan seperti dilaporkan.

Bagi Wanita UMNO, Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad menggesa kerajaan menimbangkan semula keputusan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut bukan Islam.

“Kerajaan perlu melihat semula keputusan itu demi menjaga kepentingan agama Islam dan orang Melayu,” katanya seperti dilaporkan.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut menggesa kerajaan perlu menerangkan rasional dan implikasi isu penggunaan kalimah Allah dengan jelas kepada rakyat.

Azalina berkata, antara yang patut menjadi fokus utama kerajaan adalah memastikan rakyat faham isu berkenaan sepenuhnya, bagi mengelakkan sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk membangkitkan amarah atau ketidaktenteraman.

“Apa pun, perlu satu penyelesaian dari segi kefahaman rakyat, supaya tiada salah faham, dan tiada mereka yang ambil kesempatan untuk mewujudkan kemarahan dan kebencian.

Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15 Mei 2023 telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan kerajaan itu menimbulkan tanda tanya khususnya dalam kalangan parti pembangkang dan spekulasi bahawa ia dipengaruhi pihak tertentu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp