TERKINI

Isu LCS : “Hipokrasi Guna Nama Rakyat” – Ketua Penerangan Pejuang

Rafique Rashid – foto Yahoo News Singapore

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2023 – Keengganan Dewan Rakyat membahaskan usul membabitkan kapal tempur pesisir (LCS) yang di bawah ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan terdapat hipokrasi menggunakan nama rakyat.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata sedangkan pemimpin kerajaan hari ini pernah turun ke jalanan menuntut jawapan berhubung isu LCS.

“Yang peliknya adalah, mengapa mereka dalam kerajaan atau yang berkuasa dalam menentukan Urusan Mesyuarat Parlimen tidak menyokong Usul yang dibawa oleh Muar?

“Bukankah mereka dalam kerajaan hari ini juga ke jalanan berpakaian hitam mengangkat sepanduk mengusung kain rentang gesa Kerajaan terdahulu bongkar isu LCS?,”katanya.

Rafique turut menggesa kerajaan tidak mengamalkan amalan double standards dengan alasan menggunakan nama rakyat sedangkan terdapat pemimpin mereka terpalit isu salah laku.

“Pada mereka yang asyik sibuk guna alasan konon berjuang untuk memastikan duit rakyat terbela dan terjaga, sila pandang cermin atau sekurang-kurangnya pandang dalam gabungan sendiri pihak manakah yang asyik dikaitkan dengan salah laku atau menghadapi pertuduhan di mahkamah berkenaan wang rakyat.

“Sama jugalah dengan isu Laporan Ketua Audit Negara. Kalau ada dakwaan ketirisan, salahguna atau jenayah, bukankah yang ada dalam kerajaan hari ini juga berada dalam kerajaan terdahulu?” katanya, dalam satu kenyataan sebelum ini.

Dakwanya, hujah atas nama rakyat digunakan semata-mata demi meraih sokongan sedangkan hakikatnya mereka tidak mengendahkan perkara itu.

“Hentikanlah berhujah atas nama rakyat kerana yang dalam kerajaan hari ini berhujah akan bela rakyat atas pentas kempen tetapi selepas PRU tidak pula segan silu pegang tangan berswafoto sambil hafal lirik parti lawan sendiri demi kuasa demi jawatan, atas pentas politik pula.

“Sementara sandiwara mereka dalam kuasa berjalan, ringgit jatuh, pasaran saham makin tenggelam, kuasa membeli hampir pupus, harga barangan tidak terkawal dan inflasi akan membenam rakyat. Masa depan ekonomi diramal amat-amat kelam. Seperi tiada formula hanya retorik,” katanya.

Rafique sehubungn itu mengingatkan rakyat harus bangkit meminta penjelasan kerajaan dan membuat keputusan bijak pada PRN nanti.

“Maka jelaslah sekarang, rakyat hanya diperlukan untuk 14 hari kempen serta pada hari mengundi.

“Isyarat jelas mesti diberikan pada PRN enam negeri yang bakal menjelang. Kartel Rakyat mesti dimulakan. Rakyat harus bijak kali ini membuat perubahan memilih atas kelayakkan calon,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp