TERKINI

Isu REE : MB Kedah Akan Dipanggil SPRM Minggu Depan

Azam Baki (kiri), Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 12 Sept 2023 – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selewat-lewatnya minggu depan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan tersebut sudah berada di peringkat akhir, namun perlu melihat kepada beberapa perkara dalam konteks undang-undang, sistem dan prosedur.

“Walaupun kami (SPRM) menyiasat mengenai rasuah dan salah guna kuasa, kami juga melihat kepada beberapa perkara dalam isu REE ini.

“Dengan sistem dan prosedur, tugas kami adalah untuk menasihati kerajaan negeri tentang bagaimana hendak memperbetulkan keadaan.

“SPRM sedang menyiasat kes ini sebab tu jadi lambat dan orang ramai bercakap tentang bila nak ambil tindakan,” katanya kepada media ketika program Executive Talk bersama pengarang media cetak Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sini pada Isnin.

Sinar Harian pada 9 Ogos melaporkan, SPRM memperoleh keterangan baharu, namun masih menangguhkan tindakan memanggil Muhammad Sanusi kerana ingin meneliti maklumat atau petunjuk baharu yang diterima.

Azam berkata, pihaknya akan menyiasat maklumat terbaharu tersebut bagi menyokong siasatan sedia ada sebelum tindakan selanjutnya dijalankan.

Bagaimanapun, Azam menerangkan, perkara yang dilihat adalah mengenai kuasa untuk meluluskan perlombongan haram itu kerana dakwanya, ia bukan keputusan daripada kerajaan negeri, sebaliknya Kerajaan Persekutuan.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat mengenai pengurusan, polisi dan cara mencadangkan projek itu kepada Kerajaan Persekutuan.

Ujarnya, SPRM juga bakal menyemak segala tindakan yang dibuat pihak berkuasa sebelum ini terhadap isu berkenaan selain berlaku adil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.

“Apabila melibatkan pendakwaan dan juga sistem atau prosedur, kebiasaannya kami akan ditanya di mahkamah.

“SPRM bertanggungjawab menyiasat kenapa warga China boleh masuk dan dari mana mereka datang, semuanya kami perlu tahu. Adakah mereka datang untuk meneroka kawasan atau mahu melakukan perlombongan haram?,” soalnya.

Azam berkata, perkara tersebut perlu disahkan sama ada Muhammad Sanusi benar-benar mengetahui keadaan yang berlaku atau sebaliknya.

“Hal ini kerana terdapat video dan gambar menunjukkan dia (Muhammad Sanusi) pergi ke kawasan kejadian, seolah-olah dia baru tahu ada orang sedang mencuri REE,” ujar beliau. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp