TERKINI

Isu Sekolah Vernakular : Perayu akan memohon kebenaran menfailkan rayuan, kata peguam

Haniff Khatri – foto The Merdeka Times

KUALA LUMPUR, 23 Nov 2023 – Peguam Haniff Khatri yang mewakili perayu dalam kes melibatkan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan tiga lagi NGO, berkata, pihak perayu akan memohon untuk kebenaran menfailkan rayuan ke mahkamah persekutuan.

“Sekarang ini, pihak perayu (4 NGO) ini sememangnya akan membuat permohonan untuk merayu lagi ke mahkamah persekutuan.

“Tapi di mahkamah Persekutuan kita tak boleh terus merayu, kita kena dapat kebenaran untuk merayu dulu, itu keperluan undang-undang.

“Siapa yang akan merayu, itu kita tentukan nantilah, tapi insyaallah kita akan failkan permohonan. Ujarnya kepada malayadaily.

Menurut haniff, alasan penghakiman lengkap mahkamah rayuan akan disediakan dalam tempoh seminggu.

“Alasan penghakiman lengkap mahkamah rayuan akan disediakan, menurut hakim berkenaan, dalam tempoh seminggu lagi, jadi sekarang kita cuma ada alasan ringkas yang diungkapkan, dituturkan di mahkamah, tapi alasan penghakiman bertulis lengkap dikata dalam seminggu akan ‘ready’.

“So, komen-komen lanjut sebaiknya kita tunggu alasan penghakiman lengkap. Katanya.

Sidang tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Supang Lian pagi ini sebulat suara menolak rayuan yang difailkan oleh Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan tiga lagi NGO.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 telah menolak saman yang difailkan oleh Mappim dan beberapa NGO mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Ketiga-tiga plaintif yang telah menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan itu kemudian telah mengemukan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang membawa kepada keputusan pada hari ini.

Antara defendan ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Dengan keputusan itu, Sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan terus beroperasi secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan Malaysia. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp