TERKINI

Isu SMJK : Peguam nasihat kerajaan jangan tarik balik arahan

PUTRAJAYA, 7 Jun 24 – Peguam berpengalaman, Mohamed Haniff Khatri menasihatkan kerajaan untuk tidak menarik balik arahan berhubung penguatkuasaan pelaksanaan DLP dengan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini.

Menurut Haniff, arahan tersebut tertakluk dibawah Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan dengan jelas; ‘tertakluk kepada peruntukan akta ini Menteri yakni Menteri pendidikan boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu’

“Dalam erti kata lain, apabila Menteri pendidikan yang memberi pengecualian di bawah seksyen 17 untuk digunakan bahasa selain daripada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaran. Maka Menteri yang sama boleh meletakkan syarat baru untuk penggunaan mana-mana atau penggunaan bahasa kebangsaan untuk mana-mana pelajaran dalam bahasa penghantaran, bahasa kebangsaan. Ujar Haniff dalam satu rakaman video.

Tambah Haniff, menerusi Seksyen 28 juga, Menteri boleh menentukan sama ada syarat kepada sekolah-sekolah tersebut untuk terus dibenarkan dibuka ataupun tidak, ataupun dibatalkan jika sekolah-sekolah tersebut berkeras membantah arahan tersebut.

“Jika sekolah-sekolah tersebut berkeras hati tidak mahu patuh kepada arahan pihak Kementerian dan jabatan pendidikan ini, maka sudah tiba masanya Menteri di bawah seksyen 28 menentukan sama ada syarat kepada sekolah-sekolah tersebut untuk terus dibenarkan dibuka sebagai sekolah, vernakular sekolah jenis kebangsaan perlu diteruskan ataupun tidak ataupun dibatalkan.

“Saya syorkan kepada kerajaan Menteri pendidikan Fazlina Sidek, dan kepada jabatan pendidikan negeri Pulau Pinang untuk tidak menarik balik arahan tersebut.

Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Chung Ling Pulau Pinang, Datuk Seri Koay Hean Eng yang mewakili 11 sekolah berkenaan dilapor berkata, surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri bertarikh 15 April sudah dihantar kepada pengetua 36 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga 52 SMJK dan SMK.

Surat itu secara rasmi mengumumkan bahawa salah satu arahan kementerian adalah menguatkuasakan pelaksanaan DLP dengan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua SMJK mulai tahun ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp