TERKINI

Jemaah Haji Dinasihatkan Jangan Langgar Undang-undang Arab Saudi – TH

Gambar hiasan – foto malayadaily.com

PUTRAJAYA, 14 Mei 2023 – Rakyat Malaysia yang akan menunaikan haji dinasihatkan supaya menjaga nama baik negara dan tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang termasuk menyalah guna visa umrah atau pelancongan.

Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang negara Arab Saudi, malah akan mengeruhkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Bukan saja tahun ini, tapi pada tahun lepas pun ada juga yang melaksanakan perkara itu dan saya boleh menyatakan mereka telah dikenal pasti oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Putra, di sini, malam ini.

Beliau berkata perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana pihak berkuasa negara itu akan menjalankan pemeriksaan dan berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Syed Saleh berkata kira-kira 1,600 bakal jemaah haji menyertai kursus perdana anjuran Lembaga Tabung Haji tersebut yang dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bermula 29 April hingga esok.

Penerbangan pertama jemaah haji negara adalah pada 21 Mei ini. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp