PUTRAJAYA, 21 Jan 2024 – Bangsa Melayu berisiko untuk hilang dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya tidak bersatu padu dari sekarang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Melayu juga akan ditawan dan ‘hilang tanpa perang’ ekoran tiada siapa yang ambil berat terhadap nasib bangsa itu ketika ini.
“Kita tahu negara dah hilang banyak, nak kata tidak tahu, tak boleh.
“Kita sudah hilang empat negeri di utara, Pulau Riau, Singapura dan Pulau Pinang.
“Kalau mereka (Melayu) sedar, ambillah tindakan sewajarnya.
“Kita tahu apa yang boleh dilakukan, umpamanya kalau ada wakil rakyat yang tidak bercakap (mengenai Melayu), kita nak mereka bercakap.
“Kita seolah-olah ditawan oleh bangsa lain tanpa perang.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengharapkan orang Melayu mengukuhkan perpaduan bagi mengekalkan bangsa itu di negara ini.
“Jangan dalam pilihan raya, nak keluar undi pun tak mahu, (Melayu) 65 peratus sahaja yang keluar, Cina pula 98 peratus (keluar mengundi). Itu kenyataan.
“Jadi kalau 400 yang hadir (program) dan setiap seorang jumpa dengan 10 orang lain dan bercerita apa yang dibincang hari ini mengenai negara hilang lagi 10 tahun, barulah mesej ini akan sampai kepada orang Melayu dan menyedarkan mereka,” ujarnya.
Julai tahun lalu, Mahathir turut dilapor berkata, identiti kaum Melayu tidak mampu kekal sebagai sebuah bangsa dan bakal kehilangan negara.
Dakwa beliau, ia berikutan pendatang asing menuntut Malaysia yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar supaya dijadikan negara berbilang bangsa. – Sinar Harian