TERKINI

JIPS Bukit Aman Tahan Timbalan Pendakwa Raya, Anggota Polis

Ayob Khan Mydin Pitchay – Foto The Sun Daily

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2023 – Seorang pegawai dan 13 anggota polis ditahan tugas selepas ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Negeri Sembilan, semalam.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, dengan kertas siasatan kes itu kini sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

Selain keseluruhan seorang pegawai dan 14 anggota pelbagai pangkat, beliau turut mengesahkan dua penjawat awam membabitkan masing-masing seorang timbalan pendakwa raya dan pendaftar mahkamah turut ditahan dalam serbuan sama.

“Daripada 15 anggota dan pegawai ditahan itu, 14 disahkan positif dadah. Dua penjawat awam yang ditahan itu juga positif (dadah).

“Tindakan telah diambil…yang pertama mereka (yang positif dadah itu) ditahan kerja dan kita juga sedang siapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

“Semua anggota dan pegawai terbabit buat masa ini dilepaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan,” katanya ketika di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Batu Caves, di sini, semalam.

Mereka ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 2.30 pagi, pada Ahad.

Semua pegawai dan anggota ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp