KUALA LUMPUR, 30 Dis 2023 – Sebuah jawatan kuasa bebas yang dikenali sebagai’Bumiputera Bertindak’ telah dibentuk oleh kumpulan mantan pemimpin pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menangani beberapa isu membabitkan soal pengoperasian, dakwaan salah laku, pelanggaran tadbir urus korporat dan pembaziran UiTM.
Menurut jurucakapnya, Datuk Dr Ibrahim Ali, inisiatif tersebut dibuat berikutan isu kerugian UiTM Holdings dan beberapa pelakuan pelanggaran dan kelemahan tatakelola yang mencurigakan seperti yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
“Jawatan kuasa ini akan berfungsi sebagai pemantau dan pemberi maklumat (whistleblower) bagi memastikan institusi menara gading keramat Bumiputera itu menjadi Bersih; Berintegriti; Telus dan Dihormati oleh semua warga dan pemegang taruhnya. Kata Ibrahim Ali.
Dalam kenyataan yang sama, JK Bumiputera Bertindak mahu memastikan kes-kes yang disiasat oleh
SPRM tidak lagi diletak di bawah status NFA atau No Further Action atau Tiada Tindakan.
“Jika ini berlaku, ia memberi gambaran bahawa ada campur tangan pihak-pihak tertentu bagi memastikan kes-kes itu tidak diperlanjutkan.
“Jawatan kuasa ini mendapati tindakan itu telah menyebabkan berlakunya “kehakisan kepercayaan” terhadap integriti institusi tersebut.
Menurut Ibrahim Ali, JK Bumiputera Bertindak mahu SPRM mempercepatkan siasatan agar mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana UiTM dapat dibawa ke muka pengadilan.
“Jawatan kuasa ini merancang mengadakan taklimat terbuka dengan Alumni UiTM berhubung beberapa isu umum membabitkan UiTM, pada penghujung Januari 2024.
“Susulan itu juga beberapa pertemuan peringkat tertinggi dengan beberapa pihak akan diatur. Ujarnya.
Lapan nama yang menganggotai JK Bebas tersebut iaitu Datuk Dr. Ibrahim Ali (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Ali Lembaga Pengarah UiTM), Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Presiden Alumni UiTM Malaysia, mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, mantan Menteri Kabinet), Prof Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Naib Canselor UiTM, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM), Datuk Mohd Zaini Hassan (mantan Presiden Alumni UiTM Malaysia, mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM), Datuk Seri (Dr) Mohamed Azahari Mohamed Kamil (Mantan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, alumni UiTM), Datuk Dr Ruhanie Ahmad (mantan pemimpin pelajar ITM, mantan Ahli Parlimen), Dr Azmi Abd Hamid (mantan Prof Madya UiTM dan mantan Pengarah Unit Risiko, UiTM, alumni UiTM) dan Saudara Noor Hazril Norizan sebagai Penolong Setiausaha Bumiputera Bertindak.
Sebelum ini Presiden parti Putra, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung laporan penyelewengan, salah guna kuasa dan ketirisan UiTM Holdings dan pengurusan UiTM.
Menurut Ibrahim, ini merupakan laporan kedua kepada SPRM selepas laporan pertama dibuat pada 31 Januari 2023 lalu, namun masih belum ada maklum balas daripada pihak SPRM berhubung laporan tersebut.
Laporan Ketua Audit Negara 2022 mendedahkan sebanyak RM259.98 juta wang dilaburkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui suntikan modal dan penukaran pinjaman kepada ekuiti tanpa kelulusan kementerian kewangan.
Media juga melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat UiTM Holdings atas dakwaan ketidakcekapan dan ketirisan yang membawa kepada kerugian RM157 juta. – malayadaily.com