TERKINI

“Kalau 32 juta itu banci, bukan ‘survey'” – kata Hisommudin

Hisommudin Bakar (kanan sekali) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 20 Nov 2023 – Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar membidas pandangan yang mempertikaikan jumlah sampel kajian yang dibuat oleh badan pengkaji sebagai penolakan ‘mentah’.

Dalam satu perkara, Hisoomudin merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak secara ‘mentah’ dapatan kajian badan pemikir itu mengenai sokongan pengundi Melayu sebagai analisis cacat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, sebelum ini.

Menurut Hisommudin, kenyataan perdana menteri tidak bertanggungjawab sedangkan pemimpin negara seharusnya lebih arif tentang hasil kajian oleh organisasi yang membuat tinjauan di lapangan.

“Sebagai badan kajian, kita menerima respons daripada pemimpin utama negara yang menolak kajian, bagi saya beliau menolak secara mentah dapatan kajian yang dikemukakan.

“Merdeka Center juga mengalami nasib sama apabila dapatan kajian mereka ditolak hanya kerana bersandarkan kepada 1,400 sampel.

“Saya mengharapkan Kerajaan Madani ini ada berbeza sedikit. Kalau kerajaan sebelum ini memang biasa akan ditolak,” katanya pada Minggu Negarawan bertajuk Setahun Kerajaan PH-BN di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan perdana menteri menyifatkan kajian Ilham Centre pada Julai lalu yang turut mendapati 24 peratus orang Melayu berpuas hati dengan prestasinya sebagai ‘analisis cacat’.

Selain itu, Hisommudin juga membidas tindakan penolakan perdana menteri itu hanya kerana dapatan kajian itu melibatkan 1,400 sampel berbanding 32 juta pengundi di negara ini.

“Kalau nak tanya 32 juta itu banci boss, bukannya survei. Survei ini kita hanya mengambil sampling, bukan tanya 32 juta, kalau jumlah itu kita kena banci.

“Kita mengambil 1,400 sampel, bagi saya sudah memadai untuk kita membuat bacaan umum, itu adalah suara sebenar yang kita temui, rentas seluruh negara.

“Kalau mengikut disiplin ilmu statistik, bagi saya itu sudah cukup memadai untuk kita mengutip pandangan awam,” katanya.

Katanya lagi, kaedah itu turut digunakan firma kajian di negara jiran yang kita dalam proses kempen menjelang Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu), pada Februari 2024.

“Dalam Pemilu kali ini, pengundi yang layak mengundi pada Februari 2024 ialah seramai 204.8 juta orang.

“Dalam dapatan 15 firma kajian, julat sample sama (Ilham) iaitu 1,400 sampel walaupun mereka mempunyai populasi yang berganda daripada kita,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp