TERKINI

Kampung Sri Makmur: Putra gesa pihak berkuasa siasat elemen samseng ketika operasi dibuat

Shahrulufti Sharif (gambar kecil) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 5 Jun 24 – Parti Putra menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat elemen samseng yang berlaku semasa perobohan kediaman penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, insiden tersebut mengakibatkan banyak naskhah Al-Quran rosak.

“PUTRA juga menuntut agar pihak berkuasa terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan yang telus dan adil mengenai bagaimana terdapat elemen samseng yang terlibat semasa perobohan berlaku.

“Insiden ini telah mengakibatkan banyak naskah Al-Quran dan buku agama dimusnahkan dengan cara yang sangat biadab, tidak ubah seperti perlakuan zionis Israel ke atas hak dan maruah warga Palestin.

Dalam kenyataan yang sama, Putra turut mendesak kerajaan Negeri Selangor untuk mempermudahkan segala urusan yang berkaitan dengan tempat tinggal dan pampasan bagi semua penduduk Kampungg Sri Makmur.

Berdasarkan laporan media, isu Kampung Sri Makmur bermula sejak Julai 2006 yang menyaksikan operasi perobohan dilaksanakan terhadap sebahagian unit rumah, namun bancian pada 2016 mendapati jumlah rumah meningkat 204 unit berbanding 80 buah pada 2006.

PKNS memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimaterai pada 8 September 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lalu.

Kerajaan Selangor juga telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati ‘ex-gratia’ sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak dalam kenyataan sebelum ini berkata, tindakan pengusiran dan perobohan penempatan setinggan yang menceroboh tanah hak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 27 dan 28 Mei lepas itu adalah berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Mei 2024.

Selepas operasi tersebut, Adun Hulu Kelang, Azmin Ali pada 30 Mei lalu mendakwa penduduk Kampung Sri Makmur telah diusir keluar oleh penguatkuasa dengan ‘kekerasan dan tidak berperi kemanusiaan’.

“Puluhan kitab suci Al-Quran rosak dan musnah di bawah tembok dan bangunan surau yang ranap menyembah bumi,” dakwa pemimpin Bersatu itu pada hantaran di Facebook. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp