KUALA LUMPUR, 9 Okt 2023 – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyatakan rasa kecewa apabila harga belian padi jatuh mendadak dan mendakwa kecelaruan industri padi dan beras di negara ini yang sudah mencapai tahap kronik dan gila.
Kenyataan tersebut dikeluarkan pada perhimpunan pesawah di Pusat Kegiatan Komuniti TTZ, Lahar Budi, Alor Setar, pada Ahad.
Menurut PeSAWAH, masalah ini menunjukkan keadaan bekalan beras dan harga padi yang tidak normal atau wujud campur tangan kartel.
“Belum lagi selesai isu kehilangan beras putih tempatan dari pasaran akibat daripada eksploitasi diperingkat kilang dan borong, harga belian padi pula jatuh mendadak daripada sekitar RM1700 pada beberapa bulan lalu kepada harga minimum RM1200 dalam masa beberapa hari ini jelas menunjukkan keadaan bekalan beras dan harga padi yang tidak normal atau wujud campur tangan kartel.
Dalam kenyataan yang sama, PeSAWAH mendakwa kehidupan mereka semakin tersepit apabila semua kos untuk menanam padi telah naik sejak kenaikan harga padi seperti harga benih, jentera dan sewaan bendang. Dengan penurunan harga padi ini, ia sudah tentu menyebabkan kerugian yang besar tanpa diduga.
“Punca utama permasalahan ini ialah mekanisme harga kawalan yang sudah tidak sesuai kerana ia tidak dikaji semula sejak 2008. Sudah tiba masanya harga syiling beras putih tempatan perlu dinaikan daripada RM2.60/kilo kepada RM3.50/kilo maksimum.
“Harga lantai belian padi mentah pula dinaikkan dari RM1200/tan dinaikan kepada RM1500/tan. Cadangan ini adalah jaminan utk jangka panjang bagi mengelakan manipulasi yang berterusan. Katanya.
Pada masa yang sama, PeSAWAH mencadangkan agar kawalan beras yang lebih efektif bagi mengelak penipuan harga dan bekalan beras dibuat dengan disatukan beras tempatan dan import dengan satu kategori iaitu beras putih sahaja dengan harga kawalan RM3.50/kilo maksimum. Perbezaan kualiti beras dinilai atas peratusan beras hancur sama ada 5% atau 10%.
“Selain itu, harga benih padi sah kini mencecah RM52/beg (pintu kilang) dan RM56/beg (runcit).
“Ini menunjukkan penguatkuasaan yang lemah daripada pihak Kawalseliaan Padi dan Beras kerana harga tersebut melebihi harga kawalan iaitu RM31/beg (pintu kilang) dan RM35/beg (runcit).
“Ini amat mendukacitakan sedangkan pengeluar benih telah mendapat subsidi sebanyak RM20.60/beg dari pihak kerajaan dan penurunan harga belian padi skim ladang benih daripada RM1800 kepada RM1380/tan. Katanya.
Hingga kini, isu kekurangan bekalan beras tempatan (BPT) di pasaran terus berlarutan meskipun pengeluaran beras tersebut dikatakan antara 60 sehingga ke 65 peratus setahun sekali gus menimbulkan persoalan ke mana hilangnya bekalan berkenaan yang kini didominasi oleh beras import. – malayadaily.com