TERKINI

Kejayaan Rakyat Lawan Malayan Union Dapat Kembalikan Kuasa Raja-Raja Melayu – Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 4 Julai 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kejayaan perjuangan rakyat menentang Malayan Union sekitar 1945 hingga 1946, telah berjaya mengembalikan kuasa Raja-Raja Melayu yang cuba dihapuskan British ketika itu.

“Cadangan Malayan Union oleh British pada tahun 1945-6 ialah untuk merampas negeri-negeri Melayu dan menjadinya tanah jajahan (colony) British.

“Apabila negeri-negeri menjadi tanah jajahan British Raja-Raja Melayu akan hilang negeri mereka. Ini bermakna mereka bukan lagi Sultan atau Yam Tuan. Singapura, Melaka dan Pulau Pinang tidak ada raja. Gelaran mereka tidak bermakna lagi. Mereka hanya akan mengepalai urusan adat istiadat Melayu dan agama Islam,” kata Mahathir.

Beliau berkata, disebabkan penentangan rakyat Melayu waktu itu Raja-Raja Melayu berjaya mempertahankan takhta mereka hingga ke hari ini.

“Rakyat bangun menentang Malayan Union supaya negeri-negeri Melayu dikembali sebagai negeri beraja dengan Raja-Raja Melayu mengepalai negeri masing-masing.

“Penentangan oleh rakyat berjaya dan Raja-Raja Melayu kembali sebagai Sultan dan Yam Tuan (Yang di-Pertuan Besar),” kata Mahathir, dalam kenyataan dipetik dari laman media sosialnya, baru-baru ini.

Disebabkan itu, negarawan itu berkata, Raja-Raja harus menyedari teguran rakyat kepada mereka adalah untuk memastikan kedudukan itu kekal terpelihara.

“Jika teguran dibuat oleh rakyat terhadap Raja-Raja mereka, sebabnya ialah untuk elak dari kesetiaan rakyat terhadap Raja-Raja mengurang.

“Jika tidak tingkah laku raja boleh membawa kepada pengurangan kesetiaan rakyat kepada raja. Jika ini berlaku akibatnya mungkin seperti yang dilihat di negara-negara lain,” kata Mahathir lagi.

“Yang jelas ialah rakyat Melayu mempertahankan institusi raja, dengan itu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan Union menjelaskan bahawa Raja-Raja Melayu masih ada sebagai Raja Berperlembagaan (Constitutional Rulers) bagi negeri-negeri mereka, dilantik juga seorang dari mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp